Tun Datuk Haji Ahmad Koroh telah dilahirkan di Kampung Limbawan, daerah Keningau pada 1 Januari 1925.  Bapanya, O.K.K. Koroh bin Santulan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Persiangan semasa pemerintahan British.  Ibunya, Isah Maria binti Santul ialah adik kepada G.S. Sundang dan O.K.K. Sedomon Gunsanad.  Tun Ahmad dilahirkan dalam keluarga yang sederhana dan merupakan anak kedua dari lapan orang adik-beradik iaitu Daisy, Juliana, Tan Sri Suffian, Agnes, Angeline, Agnetius dan Benedict.  Nama Tun yang asal ialah Thomas Koroh.

Ketika berusia tujuh tahun, beliau mula bersekolah di Sekolah Kerajaan Vernakular Melayu (Government Vernacular School), Keningau.  Tun kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah All Saint’s pada tahun 1939.  Pada tahun 1961, Tun Ahmad telah melanjutkan pelajaran dalam bidang Kerajaan Tempatan dan Awam (Public and Local Administration) di Australia di bawah Biasiswa Rancangan Colombo.  Pada tahun 1964, Tun memperoleh Diploma Pentadbiran Awam dan Sosial dari Torquay, England.

Isteri Tun Ahmad, Philippa Matamit @ Sinirun telah meninggal dunia pada tahun 1947 ketika melahirkan anak mereka yang kedua.  Tun Ahmad kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Datin Salamah binti Datuk Hj. Said Besar dan dikurniakan seramai lapan orang anak.  Tun Ahmad kemudiannya berkahwin pula dengan Hajah Hamidah Datuk Fadzil dan dikurniakan seorang anak perempuan. Semasa pendudukan Jepun (1942-1945), Tun Ahmad berkhidmat dalam pentadbiran awam.  Selepas Perang Dunia Kedua tamat, beliau bekerja sebagai kerani stor, jurutaip dan jurubahasa dalam Pemerintahan Tentera British (British Military Administration) di Borneo Utara.

Pada tahun 1963, semasa proses pembentukan Malaysia sedang berjalan, Tun Ahmad telah mengikuti rombongan Parti Pasok Momogun ke Kuala Lumpur atas undangan Kerajaan Malaya.  Tun juga bertindak sebagai jurubahasa kepada Suruhanjaya Cobbold kerana beliau fasih berbahasa Melayu, Kadazandusun, Inggeris dan Murut. Pada tahun yang sama, Tun Ahmad Koroh juga telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Kunak selama tiga tahun.  Pada tahun 1966, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Tenom sehingga beliau bersara dari Perkhidmatan Awam pada tahun 1971.  Selepas bersara, Tun Ahmad telah terlibat dalam bidang perniagaan. Pada tahun 1977, Tun Ahmad Koroh telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah yang Kelima bagi menggantikan Tun Hamdan Abdullah yang meninggal dunia pada tahun yang sama. Jawatan lain yang pernah dijawat oleh Tun Ahmad Koroh ialah Majistret, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Penaung Pengakap dan Persatuan Perubatan Sabah serta Presiden Kelab Kinabalu dan Kelab Rotary. Kegemaran Tun Ahmad ialah bermain golf, mengembara, memancing, menunggang kuda, membaca buku dan menangkap burung.

Tun telah meninggal dunia pada 25 Jun 1978 iaitu hanya setahun selepas dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.